Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 
Tema: Biru dan Hijau Tema: Biru dan Hijau Tema: Merah Tema: Hijau

Jumlah Pelawat
2048960
Hari Sarawak 2019 Imbau Kembali Mesyuarat DUN Sarawak Pertama di Bintulu
Tarikh : 22 Jul 2019  Sumber Berita: Utusan Borneo
 

Link: https://www.utusanborneo.com.my/2019/07/22/hari-sarawak-2019-imbau-kembali-mesyuarat-dun-sarawak-pertama-di-bintulu

Hari Sarawak 2019 imbau kembali mesyuarat DUN Sarawak pertama di Bintulu

  • 2019-07-22T01:00:01+08:00
 Pejabat pentadbiran menempatkan beberapa jabatan dan agensi kerajaan termasuk penggerak pembangunan bandar Bintulu iaitu Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA).
MERCU TANDA: Pejabat pentadbiran menempatkan beberapa jabatan dan agensi kerajaan termasuk
penggerak pembangunan bandar Bintulu iaitu Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA).
 Rumah di tapak asal tempat mesyuarat pertama Council Negri di Bintulu Sarawak pada 8 September 1867.
SEJARAH: Rumah di tapak asal tempat mesyuarat pertama Council Negri di Bintulu Sarawak pada 8 September 1867.
 Monumen bagi memperingati mesyuarat pertama Council Negri di Bintulu Sarawak pada 8 September 1867.
MENGINGATI SEJARAH: Monumen bagi memperingati mesyuarat pertama Council Negri di Bintulu Sarawak pada 8 September 1867.
 Maklumat dipaparkan bagi memperingati mesyuarat pertama Council Negeri di Bintulu Sarawak pada 8 September 1867.
MAKLUMAT BERGUNA: Maklumat dipaparkan bagi memperingati mesyuarat pertama Council Negeri di Bintulu Sarawak pada 8 September 1867.

SAMBUTAN Hari Sarawak di Bintulu merupakan titik bersejarah memandangkan kali ini diadakan di luar bandar raya Kuching sekali gus menandakan usaha kerajaan Sarawak mengutamakan Bintulu sebagai bandar penting suatu ketika dahulu merupakan tempat pertama persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 8 September 1867.

Mengulas mengenai sambutan Hari Sarawak itu Temenggung Rosli Kamaruddin berkata, sambutan Hari Sarawak di Bintulu amat sesuai memandangkan apabila kerajaan Rajah James Brooke menubuhkan kerajaan dan DUN pertama, Bintulu menjadi tempat persidangan pertamanya.

“Sama juga dengan kerajaan Sarawak memilih Bintulu sambutan Hari Sarawak bertepatan dengan Bintulu sebagai tempat sejarah lama persidangan DUN Sarawak,” katanya ditemui Utusan Borneo sempena Hari Sarawak di Bintulu.

Menurutnya, apabila memandang lebih jauh dan luas keadaan pembangunan Sarawak kini, Bintulu antara bandar penting sebagai pengeluar hasil lebih utama negeri ini bukan sahaja Sarawak malah Malaysia keseluruhannya melalui projek-projek gergasi, industri besar di bandar ini antaranya minyak dan gas serta Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

“Disebabkan itu, Bintulu sememangnya sesuai sebagai tempat penganjuran sambutan Hari Sarawak bagi mengenang kembali jasa Bintulu kepada negeri dan negara ini, Alhamdulilah kerajaan Sarawak tidak meminggirkan Bintulu,” katanya.

Tambahnya, sebagai ketua masyarakat mewakili penduduk Bintulu khasnya anak Vaie mereka berasa amat bangga kerana Bintulu dipilih lokasi penganjuran Hari Sarawak.

“Meskipun kita merasakan beberapa acara di peringkat negeri kerap diadakan di Bintulu namun adakalanya kita sebagai rakyat atau anak Vaie hanya seperti ‘penonton yang bersorak di tepi padang’,” katanya.

Maka atas dasar itu katanya, kita berharap pemimpin negeri lihat-lihatlah kebajikan anak Vaie Bintulu.

“Saya berharap anak-anak Bintulu kini boleh anggap sebagai ‘setinggan’ di tempat sendiri sekurang-kurangnya diberi peluang terlibat dalam pembangunan pesat itu contohnya memperuntukkan tanah untuk membuat rumah.

“Saya telah memohon 5,000 lot tanah kawasan seberang (Jepak) untuk semua penduduk Bintulu khususnya belia-dan permohonan itu dihantar kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg untuk diluluskan.

“Apa yang sedang kita lakukan sekarang adalah rumah bagi penduduk Vaie sekali gus membantu dalam pembangunan masyarakat di sini,” katanya.

Menjelas lanjut mengenai Hari Sarawak, dengan penganjuran itu diharap Bahagian Bintulu lebih maju dengan perancangan beberapa projek dilaksana kerajaan negeri antaranya Jambatan Kuala Kemena.

Dalam pada itu, Penghulu Drahman Sisit melihat kewajaran sambutan Hari Sarawak di Bintulu memandangkan Bintulu membangun pesat dan penyumbang utama ekonomi Malaysia.

“Bintulu harus diberi penghargaan untuk menyambut Hari Sarawak selain Kuching. Menyambut Hari Sarawak penting untuk rakyat di Bintulu agar dapat bersama merasai kenikmatan menyambut hari penting untuk Sarawak itu.

“Kita berharap penduduk di Bintulu dapat bersama hadir merai dan menjayakan Hari Sarawak terutama penduduk di kawasan bandar ini memandangkan perayaan itu julung kali diadakan di luar Kuching,” tambahnya.

Bagi Penghulu Drahman Kawi, beliau dan penduduk di Bintulu terutamanya kawasan Jepak amat berbangga meraikan Hari Sarawak yang julung kalinya diadakan di luar Kuching.

“Saya menyeru agar penduduk dapat mengibarkan bendera Sarawak pada sambutan Hari Sarawak itu serta dikibar di rumah masing-masing. Harapan besar saya agar sambutan Hari Sarawak dapat diteruskan bukan sahaja memeriahkannya malah menaikkan  semangat dan nama negeri Sarawak.

“Bintulu sebagai tuan rumah buat pertama kalinya amat bertepatan memandangkan Bintulu adalah tempat pertama pemimpin-pemimpin negeri bersidang,” katanya.

SEJARAH HARI SARAWAK

Kerajaan Sarawak pada asalnya diberikan kemerdekaan oleh Kesultanan Brunei pada 1841, tetapi menjadi naungan British dari 1888 dan tahun seterusnya namun tidak diberi kemerdekaan sepenuhnya.

Selepas berakhir Perang Dunia II, wilayah ditadbir oleh pentadbiran tentera British, kemudiannya menjadi Tanah Jajahan pada 1946. Wilayah pentadbiran kolonial dipindahkan membawa kepada bantahan besaran rakyat Sarawak yang mahu kemerdekaan Sarawak dipulihkan.

Ini membawa kepada pembunuhan Duncan Stewart iaitu gabenor kedua Tanah Jajahan oleh Rosli Dhobi, yang ditangkap dan kemudiannya dihukum gantung kerana membunuh.

Jawatan Gabenor digantikan oleh Anthony Abell yang juga menjadi satu daripada ahli-ahli Suruhanjaya Cobbold membawa Sarawak dan Borneo Utara ke dalam Persekutuan Malaysia.

Sarawak diberikan pemerintahan sendiri pada 22 Julai 1963 dengan jangkaan bersama membentuk Persekutuan Malaysia pada 16 September tahun sama.

Gabenor terakhir Tanah Jajahan, Alexander Waddel meninggalkan Astana dan menaiki sampan putih menyeberang Sungai Sarawak kemudiannya menyerahkan pentadbiran Sarawak kepada rakyat Sarawak.

Seterusnya bendera Kolonial diturunkan dan bendera Sarawak dinaikkan. Sebelum beliau pergi, gabenor tersebut melantik Stephen Kalong Ningkan sebagai Ketua Menteri Sarawak pertama.

Pada 2016, Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem mengumumkan 22 Julai sebagai cuti umum di Sarawak bermula dari 2016 untuk sambutan Hari Sarawak.

DEWAN UNDANGAN NEGERI SARAWAK TERTUA DI MALAYSIA DIADAKAN DI BINTULU pada 8 September 1867

“Dewan Undangan Negeri(DUN) Sarawak adalah dewan perundangan tertua di Malaysia ditubuhkan oleh Raja Muda Charles Brooke atas arahan Raja James Brooke melalui mesyuarat diadakan di sebuah perkampungan nelayan kecil di Bintulu, Sarawak pada 8 September 1867,” demikian menurut sumber blog DUN Sarawak.

Sumber blog DUN Sarawak juga menyatakan Dewan Undangan Negeri Sarawak mula dikenali Majlis Umum (General Council) dengan jumlah ahli dipilih seramai 21 orang.

Ahli dipilih dari kalangan ketua-ketua kaum tempatan yang difikirkan dapat membantu dalam mentadbir wilayah-wilayah di bawah jajahan Brooke pada masa itu hanya meliputi kawasan-kawasan persisiran.

Council Negeri, kini dikenali Dewan Undangan Negeri (DUN) merupakan Dewan Undangan Negeri tertua dan terulung di Malaysia.

DUN menempuh tiga zaman penting iaitu Zaman Rajah Putih Keluarga Brooke diikuti dengan zaman koloni atau zaman penjajahan British dan ketiga zaman kemerdekaannya menerusi Malaysia. Tiga anggota keluarga Brooke memerintah Sarawak dari 1841 sehingga 1946. Dari 1 Julai 1946 sehingga merdeka, Sarawak di bawah pemerintahan koloni Inggeris.

Keahlian Dewan juga mengalami perubahan bermula dengan hanya wakil daripada kaum Bumiputera sahaja dilantik menjadi ahli kemudian wakil-wakil kaum Cina.

Dari 1946 hingga saat-saat sebelum merdeka, DUN terus bergerak menempuh arus perubahan seiring dengan kedudukan negeri ditadbir oleh pejabat tanah jajahan berpusat di London melalui wakil-wakilnya di Sarawak.

Zaman gembilangnya bermula pada 16 September 1963 apabila Sarawak mencapai kemerdekaan melalui pembentukan Malaysia. DUN turut berubah wajah dengan ahli-ahlinya dipilih melalui pilihan raya. Ahli-ahli DUN kini dipilih oleh rakyat melalui amalan demokrasi pilihan raya secara langsung.

Sebagai mengenang jasa Ai-Marhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia pertama menghasilkan cadangan pembentukan Malaysia dengan Sarawak memperolehi kemerdekaan melaluinya, DUN bersidang pada 26 Mei 1971 meluluskan usul menyampaikan ucapan terima kasih kepada YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Usul terima kasih Dewan kepada YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 26 Mei 1971 adalah berbunyi seperti berikut:

“Bahawasanya Dewan ini meluluskan merakamkan penghargaan yang berkekalan kepada Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, kerana perkhidmatan cemerlangnya kepada negara terutama kepada Sarawak mendapatkan kemerdekaan kami menerusi Malaysia. Semoga Allah melimpahkan YTM Tunku dengan sihat walaufiat dan kebahagiaan serta kejayaan dalam usaha-usaha selanjutnya bagi mencapai persefahaman, persaudaraan dan keamanan lebih besar di antara umat manusia”.

  • oleh
    Abang Ismail Abang Su’ud