Berita

Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seluruh Malaysia 2021
Tarikh : 09 Aug 2021  Sumber Berita: Dewan Undangan Negeri Sarawak
 

 

 

 

DUN Sarawak, 9 Ogos 2021 - Yang Berhormat Datuk Amar Haji Mohamad Asfia Awang Nassar, Speaker DUN Sarawak telah menghadiri Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seluruh Malaysia 2021 pada isnin, jam 9.00 pagi.

Persidangan yang turut dihadiri oleh speaker-speaker DUN dari seluruh Malaysia tersebut telah dianjurkan oleh DUN Pahang selaku tuan rumah pada kali ini menerusi aplikasi webex. Turut hadir bersama YB Speaker DUN Sarawak menerusi aplikasi tersebut ialah YB Dato Gerawat Gala, Timbalan Speaker dan YBrs. Encik Pele Peter Tinggom, Setiausaha DUN Sarawak.

Majlis perasmian bagi persidangan tersebut telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang.

Persidangan sehari yang diadakan secara tertutup tersebut diaktifkan semula oleh Parlimen Malaysia selepas kali terakhir diadakan pada 2017 yang bertujuan mengeratkan hubungan antara Parlimen dan DUN, menjadi wadah perkongsian pengetahuan dan percambahan idea antara speaker-speaker seluruh Malaysia sekaligus meningkatkan keupayaan dalam pengendalian Dewan Perundangan masing-masing agar lebih efektif dan berwibawa.

Persidangan sehari tersebut membentangkan tiga kertas kerja iaitu :

i) Pengurusan Persidangan Parlimen Ketika Pandemik COVID-19

Kertas kerja tersebut telah dibentangkan oleh Yang Berhormat Datuk Azhar Azizan Harun, Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang membincangkan tentang amalan yang telah diperkenalkan oleh Parlimen Malaysia terutamanya semasa persidangan sepanjang menghadapi situasi semasa penularan wabak COVID-19 agar dapat dikongsi bersama dalam amalan terbaik (best practice) dalam kalangan Yang Berhormat Speaker-Speaker Dewan Undangan Negeri.         

ii) Usaha-Usaha Memberdaya Institusi Dewan Undangan Negeri

Kertas kerja tersebut telah dibentangkan oleh Yang Berhormat Dato’ Haji Abdullah Bin Ya’kub, Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan yang membincangkan usaha-usaha memberdaya institusi Dewan Undangan Negeri ke tahap yang lebih baik bagi membugar amalan demokrasi dan seterusnya menjadikan institusi Dewan Undangan Negeri sebagai cabang kerajaan yang bebas dan berautonomi.

iii) Konsep dan Amalan Demokrasi Berparlimen di Malaysia - Analisis Peruntukkan Perlembagaan Persekutuan

Kertas kerja tersebut telah dibentangkan oleh Professor Datuk Dr Shamrahayu Abdul Aziz, Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu yang menghuraikan dengan lebih lanjut berkenaan Perlembagaan dan sistem demokrasi di Malaysia.

Dalam pada itu, tuan rumah bagi persidangan seterusnya juga telah ditetapkan dan bakal dianjurkan oleh DUN Kedah pada tahun hadapan, 2022.