Berita

DUN Sarawak lulus penubuhan Lembaga Kemajuan Sagu dan Nipah
Tarikh : 16 Feb 2022  Sumber Berita: Utusan Malaysia
 

KUCHING: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini meluluskan penubuhan Lembaga Kemajuan Sagu dan Nipah (LKSN) bertujuan memastikan kemampanan industri sagu dan nipah di Sarawak.

Rang Undang-Undang Lembaga Kemajuan Sagu dan Nipah 2022 yang dibentangkan oleh Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom hari ini mendapat sokongan sebulat suara daripada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

STEPHEN RUNDI UTOM

Rundi ketika membentangkan usul berkenaan, berkata bidang kuasa LKSN meliputi semua aktiviti huluan dan hiliran industri sagu dan nipah termasuk penanaman sagu dan nipah, pemprosesan dan penggunaan sagu dan nipah, pengeluaran pati sagu dan nipah, pembuatan produk sagu dan nipah termasuk sebarang perkhidmatan yang berkaitan dengannya.