Berita

PAC Sarawak Pastikan Projek yang Diluluskan Dilaksanakan dengan Teliti
Tarikh : 16 Mar 2023  Sumber Berita: Suara Sarawak
 
Rombongan PAC mengadakan lawatan ke tapak Projek Pembinaan Kampus Muzium Sarawak dan Jejak Warisan di sini, hari ini.

KUCHING: Jawatankuasa Akaun Awam (PAC)  Sarawak komited memastikan wang awam dibelanjakan dengan berhemah dalam mencapai objektif yang ditetapkan bagi setiap perbelanjaan atau projek yang diluluskan oleh Kerajaan Sarawak.

Pengerusi PAC Sarawak, Razaili Gapor berkata, susulan pembentangan Laporan Ketua Audit Negara dalam persidangan DUN  yang lalu, PAC memutuskan untuk meneliti semua isu yang dibangkitkan.

Salah satu projek yang menjadi tumpuan pada kali ini katanya ialah Pembinaan Kampus Muzium Sarawak dan Jejak Warisan.

Projek Kerajaan Sarawak yang bermula 2015 itu, sebahagian usaha menyediakan komponen baharu muzium sebagai pusat untuk mengekal dan mempamerkan warisan budaya, sejarah dan kepelbagaian bio.

Selain itu, ia juga bertujuan menjadi daya tarikan bagi pengunjung, menarik minat para penyelidik dan menggalakkan pemulangan serta sumbangan koleksi,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun ujar beliau, penemuan audit mendapati terdapat beberapa kelemahan pada pelaksanaan projek terbabit (Kampus Muzium Sarawak).

Walaupun sudah siap dan Kampus Muzium Sarawak telah beroperasi katanya, PAC ingin turun padang dan melihat sendiri secara fizikal projek bagi mengetahui dengan lebih lanjut masalah dan kelemahan berkenaan.

“Melalui pendekatan ini, kita dapat mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah tersebut,” katanya.