KUCHING: Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak mesti diadakan kerana berlakunya kekosongan luar jangka melebihi tempoh dua tahun sebelum pembubaran secara automatik DUN.
Beliau berkata, PRK DUN Jepak adalah selaras dengan Artikel 21(5) Perlembagaan Negeri Sarawak, justeru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia hendaklah mengisi kekosongan luar jangka N.67 dalam tempoh 60 hari dari tarikh SPR mengesah dan memastikan ada kekosongan.
Menurutnya, beliau telah mengemukakan surat kepada Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh bertarikh 19 September 2023 untuk memaklumkan kekosangan di kerusi Jepak ekoran kematian penyandangnya Datuk Talib Zulpilip, 72, pada 15 September 2023.
Memetik Artikel 21(5) Perlembagaan Negeri Sarawak, Asfia berkata: "Apabila kerusi ahli yang dipilih telah kosong atas apa-apa sebab selain daripada pembubaran, kekosongan itu hendaklah, dalam tempoh 60 hari dari tarikh ia dipastikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya bahawa terdapat kekosongan, (kekosongan itu) diisi melalui pilihan raya kecil mengikut peruntukan Perlembagaan ini."
Beliau berkata, tempoh DUN Sarawak yang ke-19 akan tamat pada 14 Februari 2027 dan seterusnya dewan akan terbubar secara automatik.
"Memandangkan kekosongan luar jangka berlaku (di DUN Jepak) melebihi tempoh dua tahun sebelum pembubaran DUN secara automatik, maka pilihan raya kecil akan diadakan menurut Artikel 21(5) Perlembagaan Negeri Sarawak.
"Maknanya di bawah Artikel ini tertakluk kepada keadaan, jika (kekosongan) di luar atau melebihi dua tahun tempoh sebelum pembubaran DUN, pilihan raya kecil mesti dilakukan, jika dalam tempoh dua tahun, pilihan raya kecil tidak perlu.
"Oleh itu, bagi kes Jepak, memandangkan ia melebihi dua tahun pilihan raya kecil mesti diadakan," ujarnya.
Asfia berkata, SPR tidak boleh mengadakan PRK di Jepak jika belum dimaklumkan secara rasmi mengenai kekosongan di kerusi itu.
Beliau menambah, parti memerintah mesti mematuhi Artikel 21(5) Perlembagaan Negeri Sarawak bahawa kekosongan luar jangka melebihi dua tahun, PRK mesti diadakan.
"Tidak ada pilihan, syarat-syarat perlembagaan mesti dipatuhi iaitu kerusi yang kosong itu mesti diisi menerusi PRK untuk berlaku adil kepada pengundi di kawasan berkenaan.
"Pengundi di kawasan itu perlukan YB (wakil rakyat) untuk menjaga mereka, tempoh melebihi dua tahun, sangat lama buat mereka (tanpa wakil rakyat)," ujarnya.
Allahyarham Talib telah menjadi ADUN Jepak di bawah Parlimen Bintulu selama enam penggal sejak 1996.
Pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) pada 2021, Talib berjaya mempertahankan Jepak dengan undi majoriti 4,243.