News

 

Gugur istilah ‘negeri’ dalam DUN Sarawak, Asfia akan kemukakan cadangan

Posted on 04 May 2024
Source of News: TVS

KUCHING, 4 Mei: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar akan mengemukakan cadangan kepada cabang eksekutif Kerajaan Sarawak untuk pengguguran istilah ‘negeri’ dalam DUN Sarawak.

Katanya, di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) Sarawak dirujuk sebagai ‘wilayah’ dan bukan lagi ‘negeri’.

“Sarawak adalah wilayah dan bukan salah satu daripada 13 negeri. Memandangkan Sarawak kini adalah wilayah, ia adalah logik dan aksiomatik jika perkataan ‘negeri’ digugurkan. Jadi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sepatutnya adalah Dewan Undangan Sarawak (DUS) kerana Sarawak bukan lagi negeri tetapi wilayah,” katanya.

Beliau bercakap dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, hari ini.

Beliau turut memaklumkan, DUN Sarawak merupakan yang tertua di Malaysia dan ia ditubuhkan pada 8 september 1867 di Bintulu.

Pada masa tersebut, ia dikenali sebagai Majlis Umum Sarawak (Sarawak General Council).

Kemudian Majlis Umum Sarawak ditukar kepada Majlis Negeri Sarawak pada tahun 1903 sebelum dikenali sebagai DUN Sarawak pada 1976.

DUN Sarawak juga merupakan yang terbesar di Malaysia dengan jumlah ahli seramai 82 orang, selain telah meluluskan belanjawan terbesar di Malaysia membabitkan RM11 bilion dalam Bajet 2024.

Walaubagaimanapun, beliau memberi kebebasan kepada pihak media untuk menggunakan istilah DUN Sarawak atau Dewan Undangan Sarawak (DUS) semasa melaporkan mengenai persidangan yang akan berlangsung Isnin ini. -TVS