News

 

Kedudukan Wong Soon Koh dan dua yang lain di DUN diubah ke blok kerajaan

Posted on 04 May 2024
Source of News: TVS

KUCHING, 4 Mei: Kedudukan tiga ahli baharu Parti Demokratik Progresif (PDP) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang akan bermula Isnin ini akan diubah.

Menurut Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, ketiga-tiga mereka iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh, ADUN Engkilili Johnical Rayong Ngipa dan ADUN Ba’kelalan Baru Bian akan duduk di sebelah kiri Speaker DUN di dalam blok kerajaan.

“Oleh itu, tiga bekas anggota PSB yang kini menjadi anggota PDP akan dipindahkan dari blok pembangkang ke blok kerajaan, duduk di sebelah kiri Speaker DUN,” katanya.

Beliau bercakap dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, hari ini.

Ketiga- tiga mereka yang sebelum ini bekas pemimpin utama Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang telah dibubarkan menyertai PDP dan diterima oleh PDP sebagai ahli komponen GPS.

Dato Sri Wong Soon Koh dilantik sebagai Naib Presiden Kanan PDP manakala Dr Johnical Rayong Ngipa pula sebagai Naib Presiden PDP.

Sementara itu, menjawab mengenai ketua pembangkang yang baharu pula beliau berkata, perkara tersebut hanya dapat diputuskan oleh ahli-ahli dalam DUN.