KUCHING: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dijadualkan berlangsung mulai 20 hingga 29 November 2023.
Berdasarkan dokumen yang dikongsikan dengan The Borneo Post hari ini, persidangan DUN kali ini atau lebih tepatnya Mesyuarat Kedua bagi Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 diadakan selaras dengan peruntukan Peraturan Mesyuarat 6(1), Peraturan-Peraturan Mesyuarat DUN Sarawak.
Menurut dokumen itu lagi, Ahli-Ahli Yang Berhormat boleh mengemukakan tidak lebih daripada 10 pertanyaan untuk dijawab secara lisan semasa Mesyuarat Dewan berserta notis yang harus ditandakan dengan perkataan 'Jawab Lisan' selaras dengan kehendak Peraturan Mesyuarat 19 dan 24 Peraturan-Peraturan Mesyuarat DUN Sarawak.
Persidangan DUN kali ini pastinya menjadi tumpuan dan dinanti-nantikan oleh semua pihak kerana kelazimannya Belanjawan Negeri 2024 akan dibentangkan.