picture

 

Sejarah


Sejarah Dewan Undangan Negeri Sarawak

 

            Mesyuarat pertama Dewan Undangan Negeri Sarawak yang dikenali sebagai Majlis Umum telah diadakan pada 8 September 1867 di Bintulu. Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Rajah Muda Brooke. Tidak termasuk Rajah Muda Brooke sebagai Presiden, Majlis Umum tersebut terdiri daripada lima orang Inggeris dan 16 orang tempatan yang terdiri daripada kaum Melayu dan Melanau yang beragama Islam yang membantu dalam mentadbir wilayah-wilayah di bawah jajahan Rajah Brooke yang ketika itu hanya meliputi kawasan-kawasan pesisiran. Isu utama yang dibincangkan pada mesyuarat tersebut adalah hal ehwal berkenaan kepentingan rakyat Sarawak. Selari dengan peredaran masa, mesyuarat Majlis Umum selepas itu berkembang menjadi mesyuarat yang dikenali sebagai Council Negri pada tahun 1903.

 

             Pada tahun 1941, sebuah perlembagaan bertulis baharu telah digubal. Ahli-ahli Council Negri bertambah menjadi 25 orang yang terdiri daripada ahli-ahli rasmi dan tidak rasmi yang telah dilantik. Selepas pendudukan Jepun, pada tahun 1946 Sarawak telah menyaksikan persidangan Council Negri yang mengakhiri pemerintahan keluarga Rajah Brooke dan penyerahan Sarawak kepada Koloni British. Pada tahun 1956, keanggotaan Council Negri bertambah menjadi 45 orang yang terdiri daripada 14 ahli Ex-Officio, 24 ahli dipilih, empat ahli dilantik dan tiga ahli tetap.

             Ahli-ahli Council Negri merupakan ahli yang dipilih oleh Majlis Penasihat Bahagian di mana tiga buah Majlis Tempatan (Kuching, Sibu dan Miri) mempunyai beberapa orang wakil yang dipilih daripada kawasan masing-masing.

 

             Pada tahun 1968, keanggotaan Council Negri bertambah menjadi 48 ahli bagi mewakili kawasan masing-masing (seorang wakil bagi satu kawasan). Nama Council Negri kemudiannya dipinda ke Dewan Undangan Negeri Sarawak (selepas in dirujuk sebagai “DUNS”) pada tahun 1976 supaya selaras dengan Dewan Undangan Negeri yang lain di Malaysia dan selepas itu keanggotaannya/keahliannya diperluaskan lagi pada tahun 1985 ke 56 ahli yang dipilih secara demokrasi oleh rakyat yang mewakili 56 kawasan pilihanraya.

 

             Keanggotaan DUNS bertambah kepada 62 ahli dan 71 ahli pada tahun 1996 dan tahun 2006. Setelah persempadanan semula dilaksanakan pada tahun 2016, keanggotaan DUNS kini telah bertambah kepada 82 ahli.

 

            Malaysia merupakan sebuah Kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan doktrin pengasingan kuasa di mana struktur Kerajaan terbahagi kepada tiga cabang kuasa utama iaitu Badan Eksekutif, Badan Perundangan dan Badan Kehakiman pada peringkat Persekutuan dan juga pada peringkat negeri termasuk Negeri Sarawak.

 

             Salah satu fungsi utama DUNS adalah menggubal undang-undang di bawah “Senarai Negeri” dan “Senarai Bersama” seperti yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Berdasarkan Perlembagaan Negeri Sarawak, Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak mempunyai hak dan kuasa untuk memanggil atau membubar DUNS. Selain itu, beliau juga mempunyai kuasa untuk memperkenankan Rang Undang-undang yang telah diluluskan oleh DUNS.

 

             Secara amnya, DUNS terdiri daripada Speaker, Timbalan Speaker dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak (selepas ini dirujuk sebagai “ADUN”) yang dipilih melalui Pilihanraya Negeri Sarawak bagi mewakili kawasan masing-masing. Pentadbiran dan pengurusan DUNS pula adalah di bawah seliaan Setiausaha DUNS.