Berita

 

Idris dilantik semula sebagai Timbalan Speaker DUN Sarawak

Disiarkan pada 23 Apr 2025
Sumber Berita: Utusan Borneo

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang Dato Idris Buang dilantik semula sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dalam satu istiadat rasmi yang berlangsung di Astana Negeri di sini hari ini.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), majlis pelantikan dimulakan pada jam 10 pagi dengan penyerahan surat pelantikan kepada Idris sebelum beliau mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Pelantikan semula itu menyaksikan beliau kembali memegang jawatan yang pernah disandangnya selama tiga tahun sebelum ini.

Istiadat tersebut turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (Pelancongan) Datuk Sebastian Ting dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

Hadir sama, Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPANS) Datu Hamdan Sharbini, Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Macha Ata serta Imam Besar Masjid Negeri Sarawak Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.

Oleh,