News

 

Enam RUU dibentang di DUN Sarawak

Posted on 18 May 2025
Source of News: Utusan Borneo Online

KUCHING: Enam rang undang-undang (RUU) akan dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang berlangsung selama lapan hari bermula 19 Mei hingga 28 Mei ini di Kompleks DUN Sarawak di sini.

Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata enam RUU yang akan dibentangkan termasuk dua RUU Perbekalan Tambahan (2024) 2025 dan RUU Perbekalan Tambahan ( 2025) 2026.

Turut akan dibentangkan RUU (Pindaan) Pusat Biodiversiti Sarawak 2025, RUU  (Pindaan) Kanun Tanah 2025, RUU  (Pindaan) Pihak BerkuasaTempatan 2025 dan RUU (Pembubaran) Tabung Amanah Pembangunan Infrastruktur 2025. 

Asfia berkata dua daripada RUU tersebut merupakan RUU perbekalan tambahan manakala selebihnya adalah pindaan kepada undang-undang sedia ada, kecuali RUU (Pembubaran) Tabung Amanah Pembangunan Infrastruktur, 2025. 

"RUU Perbekalan Tambahan (2024), 2025 dan RUU Perbekalan Tambahan, 2025 serta RUU (Pembubaran) Tabung Amanah Pembangunan Infrastruktur, 2025 akan dibentangkan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

"Manakala RUU (Pindaan) Pusat Biodiversiti Sarawak, 2025 akan dibentangkan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.

"RUU (Pindaan) Kanun Tanah, 2025 pula akan dibentangkan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

"Manakala Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan membentangkan RUU (Pindaan) Pihak Berkuasa Tempatan, 2025," katanya pada sidang media di Bilik Media, Kompleks DUN Sarawak di sini hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Timbalan Speaker DUN Sarawak Dato Idris Buang dan Setiausaha DUN Sarawak Nur Azhar Bujang. 

Dalam pada itu, sebanyak 320 soalan telah diterima daripada 41 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan 247 soalan untuk jawapan lisan dan 73 untuk jawapan bertulis. 

Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan serta Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menerima jumlah soalan tertinggi.

Persidangan kali ini tidak menerima sebarang usul atau RUU persendirian daripada mana-mana ADUN.

Persidangan kali ini juga terdapat usul pemilihan Ahli Dewan Negara yang akan diadakan pada hari keempat Persidangan iaitu 22 Mei. 

Perasmian pembukaan mesyuarat akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar  pada hari ini,  19Mei, bermulan jam 9 pagi dengan kehadiran Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

Oleh,