News

 

Enam RUU akan dibentangkan pada sidang DUN Sarawak

Posted on 18 May 2025
Source of News: Suara Sarawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan membentang enam Rang Undang-Undang (RUU) pada Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Empat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19.

Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar berkata, tiga RUU akan dibentangkan oleh Timbalan Premier yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas iaitu RUU Perbekalan Tambahan (2024) 2025, RUU Perbekalan Tambahan (2025) 2025 dan RUU Pembubaran Tabung Amanah Pembangunan Infrastruktur 2025.

Antara yang lain, katanya, RUU Pusat Biodiversiti Sarawak (Pindaan) 2025 yang dibentangkan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn, RUU Kanun Tanah (Pindaan) 2025 yang dibentangkan oleh Timbalan Premier yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan RUU Pihak Berkuasa Tempatan (Pindaan) 2025 yang dibentangkan oleh Timbalan Premier yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

“Bacaan Pertama bagi kesemua RUU tersebut akan dilakukan pada hari kedua persidangan iaitu Selasa, 20 Mei 2025.

“Bagi RUU Pusat Biodiversiti Sarawak (Pindaan) 2025, RUU Kanun Tanah (Pindaan) 2025 dan RUU Pihak Berkuasa Tempatan (Pindaan) 2025 pula, bacaan kedua dan ketiga akan dilakukan pada hari ketiga persidangan iaitu Rabu, 21 Mei 2025,” katanya pada sidang media di DUN Sarawak, di sini hari ini.

Sementara itu, bacaan kedua dan ketiga bagi RUU Pembubaran Tabung Amanah Pembangunan Infrastruktur 2025 turut dijadualkan pada hari yang sama.

“Untuk RUU Perbekalan Tambahan (2024) 2025, RUU Perbekalan Tambahan (2025) 2025, bacaan kedua dan ketiga akan dilakukan pada hari keempat persidangan iaitu Khamis, 22 Mei 2025,” jelasnya.