KUCHING: Majlis Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama bagi Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di Kompleks DUN di sini, hari ini berjalan lancar dan penuh istiadat.
Majlis itu disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang hadir bersama isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi di Dataran Perbarisan DUN.
Turut hadir, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri Puan Sri Datuk Amar Juma'ani Tuanku Bujang serta Speaker DUN Tan Sri Mohd Asfia Awang Nassar dan dif-dif kenamaan lain.
Istiadat pembukaan bermula dengan perarakan masuk panji-panji dan kawalan kehormat utama dengan kekuatan anggota seramai 105 orang terdiri daripada tiga pegawai dan 102 lain-lain pangkat dari Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Diraja Malaysia diketuai oleh DSP Harun Saharudin Mohamad manakala Inspektor Mohd Azizi Kamil pegawai panji.
Kawalan kehormat utama ini diiringi pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kekuatan seramai 40 anggota diketuai Pengarah Pancaragam Inspektor Frankie Billy.
Selesai istiadat pembukaan, aturcara diteruskan dengan pemasyhuran oleh Speaker DUN dikuti dengan ucapan pembukaan oleh Yang di-Pertua Negeri sebelum mesyuarat ditangguhkan.
Sementara itu, persidangan DUN kali ini yang berlangsung selama lapan hari dari hari ini (19 Mei) hingga 28 Mei menyaksikan enam rang undang-undang (RUU) akan dibentangkan.
Antaranya RUU Perbekalan Tambahan (2024) 2025, RUU Perbekalan Tambahan (2025) 2025 serta RUU Pembubaran Tabung Amanah Pembangunan Infrastruktur 2025 yang akan dibentangkan oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn pula dijadual membentangkan RUU Pusat Biodiversiti Sarawak (Pindaan) 2025.
Sementara itu, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan akan membentangkan RUU Kanun Tanah (Pindaan) 2025, manakala Timbalan Premier yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian bakal membentangkan RUU Pihak Berkuasa Tempatan (Pindaan) 2025.
Oleh,