News

 

DUN Sarawak: Lima RUU dijadual dibentang mulai Isnin

Posted on 22 Nov 2025
Source of News: TVS

KUCHING, 22 Nov 2025 : Lima rang undang-undang (RUU) utama akan dibentangkan sepanjang Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang berlangsung selama lapan hari bermula 24 November hingga 3 Disember ini, kata Speaker DUN, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.

“Persidangan kali ini menyaksikan lima rang undang-undang utama yang akan dibentangkan dan dibahas oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), merangkumi aspek kewangan, perlembagaan, pembangunan serta pengurusan sumber dan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Pra-Majlis di sini menjelang persidangan DUN Sarawak di sini, hari ini.

Menurutnya antara RUU yang akan dibentangkan ialah Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 (2025) yang akan dibentangkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Bacaan pertama dan kedua dijadual pada 24 November, manakala bacaan ketiga berlangsung pada 3 Disember. Perbahasan oleh Ahli Dewan kerajaan dan pembangkang akan berlangsung dari 26 hingga 28 November.

“RUU lain termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2025 (2025) yang dibentangkan oleh Datuk Amar Douglas Uggah Embas, dengan bacaan pertama pada 24 November, manakala bacaan kedua dan ketiga dijadual pada 27 November,” ujarnya.

Tambahnya, Eang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan Negeri Sarawak 2025 akan dibentangkan oleh Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, dengan ketiga-tiga bacaan dijadual pada 24 November.

“Ahli Dewan kerajaan dan pembangkang boleh mengambil bahagian semasa bacaan kedua,” katanya lagi.

Sementara itu, kata Asfia Rang Undang-Undang Bangunan (Pindaan) 2025 dibentangkan oleh Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, manakala Rang Undang-Undang Sumber Mampan dan Pengurusan Sisa 2025 dibentangkan oleh Datuk Amar Douglas Uggah Embas, dengan bacaan pertama pada 24 November dan bacaan kedua serta ketiga pada 25 November.

Asfia mendedahkan persidangan kali ini akan menyaksikan sebanyak 341 soalan lisan dan bertulis diterima daripada 40 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), terdiri daripada 257 soalan lisan dan 84 soalan bertulis.

Jelasnya persidangan akan bermula pada jam 9 pagi di bilik mesyuarat tingkat lapan bangunan DUN, manakala tiada sesi persidangan akan diadakan pada hujung minggu, 29 dan 30 November. -TVS

By,

Connie Grace