KUCHING: Majlis Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 berjalan lancar dan penuh adat istiadat pagi ini.
Majlis pembukaan yang berlangsung di Dataran Perbarisan DUN di sini, disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Turut hadir, isteri Yang di-Pertua Negeri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi serta Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Hadir sama, Speaker DUN Tan Sri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian bersama barisan menteri Kabinet negeri serta ahli-ahli DUN kerajaan dan pembangkang.
Istiadat pembukaan bermula dengan perarakan masuk panji-panji dan kawalan kehormat utama dengan kekuatan anggota seramai 105 orang melibatkan Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Khas, Polis Marin dan Pasukan Simpanan Persekutuan yang diketuai DSP Amirol Mahathir Mohamad Khoiri.
Selesai istiadat pembukaan, aturcara diteruskan dengan pemasyhuran oleh Speaker DUN dikuti dengan ucapan pembukaan oleh Yang di-Pertua Negeri sebelum mesyuarat ditangguhkan.
Persidangan DUN yang bermula dari 11 hingga 20 Mei akan menyaksikan pembentangan empat Rang Undang-Undang (RUU) kerajaan.
Menurut Asfia dalam laporan terdahulu, RUU tersebut ialah RUU Perbekalan Tambahan (2025) 2026, RUU Perbekalan Tambahan (2026) 2026, RUU Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 dan RUU Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (Pindaan) 2026.
“RUU Perbekalan Tambahan (2025) 2026 dan RUU Perbekalan Tambahan (2026) 2026 akan dibentangkan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dengan bacaan pertama pada 12 Mei manakala bacaan kedua dan ketiga pada 14 Mei,” katanya.
Bagi RUU Lembaga Padi dan Beras Sarawak (2026), ujarnya akan dibentangkan oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom dengan bacaan pertama, kedua dan ketiga pada 12 Mei.
“Sementara RUU Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (Pindaan) 2026 pula akan dibentangkan oleh Uggah pada tarikh sama (12 Mei) melibatkan ketiga-tiga bacaan,” katanya.
Asfia turut memaklumkan sebanyak 333 soalan dikemukakan bagi persidangan kali ini, terdiri daripada 254 soalan lisan dan 79 soalan bertulis.