KUCHING, 11 Mei: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 di Dataran Perbarisan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini.
Turut hadir, isteri beliau, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Keberangkatan tiba Tun Wan Junaidi dan isteri pada jam 9:05 pagi disambut Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Istiadat dimulakan dengan nyanyian lagu Ibu Pertiwiku oleh Pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) diikuti pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama oleh Tun Wan Junaidi melibatkan 105 anggota Pasukan Gerakan Am diketuai oleh Deputi Superintenden Amirol Mahathir Mohamad Khoiri, bersama 40 anggota pancaragam Polis Diraja Malaysia.
Selesai istiadat rasmi dan nyanyian lagu kebangsaan, Tun Wan Junaidi dan isteri beredar masuk ke Dewan Mesyuarat DUN untuk menyampaikan ucapan perasmian di hadapan 82 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak.
Persidangan DUN kali ini menyaksikan empat rang undang-undang (RUU) akan dibentangkan.
RUU Perbekalan Tambahan (2025) 2026 dan RUU Perbekalan Tambahan (2026) 2026 akan dibentangkan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dengan bacaan pertama pada 12 Mei, manakala bacaan kedua dan ketiga pada 14 Mei.
Dalam pada itu, RUU Lembaga Padi dan Beras Sarawak (2026), pula bakal dibentangkan oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dengan bacaan pertama, kedua dan ketiga pada 12 Mei.
Bagi RUU Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (Pindaan) 2026 pula akan dibentangkan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah pada 12 Mei melibatkan ketiga-tiga bacaan.
Sidang DUN Sarawak akan berlangsung dari 11 hingga 20 Mei 2026. – TVS; Oleh, Vanessa Enjop