Dewan Undangan Negeri

 

Dewan Undangan Negeri


Pengenalan

Perlembagaan Negeri Sarawak memperuntukkan Perundangan Negeri mestilah terdiri daripada Yang di-Pertua Negeri dan sebuah badan yang dikenali sebagai Dewan Undangan Negeri. Pada 31 Ogos 1963, Sarawak menjadi sebuah negeri yang mempunyai sistem pemerintahan sendiri dengan sebuah kabinet yang dipilih. Enam belas hari kemudian iaitu pada 16 September 1963, Sarawak bersama-sama dengan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Singapura membentuk sebuah negara Malaysia. Perkembangan lanjut terhadap perlembagaan dibuat pada tahun 1965 apabila Kabinet Negeri diperbesarkan untuk mengandungi seorang Ketua Menteri dan lapan orang Menteri, dan pada tahun 1968 jumlah keahlian Dewan ditambah menjadi 48 orang dengan pemansuhan terhadap Ahli Ex-Officio dan Ahli yang dilantik. Dewan kemudian diperbesarkan lagi pada tahun 1985 dengan jumlah Ahli seramai 56 orang yang dipilih secara terus oleh rakyat di kawasan - kawasan pilihanraya. Pilihanraya tahun 1996 menyaksikan satu lagi perkembangan apabila jumlah keahlian Dewan Undangan Negeri ditambah menjadi 62 orang, sekaligus menjadikan Dewan Undangan Negeri Sarawak dewan perundangan yang terbesar di Malaysia. Namun pada tahun 2006, keahlian Dewan Undangan Negeri bertambah lagi dan menjadikan jumlah mereka seramai 71 orang.

Dewan Undangan Negeri Sarawak kini mempunyai 71 orang Ahli yang dipilih. Seorang Ahli bagi setiap kawasan pilihanraya negeri. Luas kawasan pilihanraya adalah berbeza-beza dengan jumlah pengundi paling ramai daripada kawasan-kawasan bandar manakala kawasan luar bandar yang luas mempunyai jumlah pengundi yang kecil disebabkan masalah perhubungan.Selepas pilihanraya umum di adakan, seseorang Ahli yang dipilih akan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri untuk tempoh lima tahun atau sehingga pilihanraya umum baru di adakan.Perlembagaan Negeri memperuntukkan bahawa Dewan Undangan Negeri mesti mengadakan persidangan sekurang-kurangnya sekali dalam setahun. Persidangan mesti diadakan kerana tiada sebarang cukai atau perbelanjaan boleh dikenakan ke atas Dana Tergabung Negeri melainkan setelah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri. Belanjawan tahunan negeri biasanya dibentangkan oleh Kerajaan Eksekutif.


Sejarah

Dewan Undangan Negeri Sarawak adalah dewan perundangan yang tertua di Malaysia. Ia ditubuhkan oleh Raja Muda Charles Brooke, atas arahan Raja James Brooke, melalui mesyuarat yang diadakan disebuah perkampungan nelayan kecil di Bintulu, Sarawak pada 8 September 1867.Dewan Undangan Negeri Sarawak mula dikenali sebagai Majlis Umum (General Council) dengan jumlah Ahli dipilih seramai 21 orang. Ahli-Ahli dipilih dari kalangan ketua-ketua kaum tempatan yang difikirkan dapat membantu dalam mentadbir wilayah-wilayah di bawah jajahan Brooke yang pada masa itu hanya meliputi kawasan-kawasan persisiran.Council Negri, kini dikenali dengan Dewan Undangan Negeri merupakan Dewan Undangan Negeri yang tertua dan terulung sekali di dalam Malaysia.

Tiga Zaman

Dewan telah menempuh tiga zaman yang penting. Zaman Rajah Putih Keluarga Brooke, diikuti dengan zaman koloni atau zaman penjajahan British dan ketiga, zaman kemerdekaannya menerusi Malaysia.Tiga orang anggota keluarga Brooke memerintah Sarawak dari tahun 1841 sehingga 1946. Dari 1 Julai 1946 sehingga merdeka, Sarawak di bawah pemerintahan koloni Inggeris.

Keahlian

Keahlian Dewan juga mengalami perubahan. Bermula dengan hanya wakil daripada kaum Bumiputra sahaja yang dilantik menjadi ahli kemudian barulah wakil-wakil kaum cina.

Saat-Saat Kemerdekaan

Dari 1946 hingga saat-saat sebelum merdeka, Dewan terus bergerak menempuh arus-arus perubahan yang banyak seiring dengan kedudukan negeri ditadbirkan oleh pejabat tanah jajahan yang berpusat di London melalui wakil-wakilnya di Sarawak. Zaman gembilangnya mulai berputik pada 16 September 1963 apabila Sarawak mencapai kemerdekaan melalui Malaysia. Dewan Undangan Negeri turut berubah wajah dengan ahli-ahlinya dipilih melalui pilihanraya. Ahli-ahli Dewan kini dipilih oleh rakyat melalui amalan demokrasi pilihanraya secara langsung. Sebagai mengenang jasa Al-Marhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia pertama yang menghasilkan cadangan pembentukan Malaysia dengan Sarawak memperolehi kemerdekaan melaluinya, Dewan Undangan Negeri yang bersidang pada 26 Mei 1971 telah meluluskan usul menyampaikan ucapan terima kasih kepada YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.Usul terimakasih Dewan kepada YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 26 Mei 1971 adalah seperti berikut:

"Bahawasanya Dewan ini meluluskan untuk merakamkan penghargaan yang berkekalan kepada Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, kerana perkhidmatan cemerlangnya kepada negara terutama kepada Sarawak yang telah mendapatkan kemerdekaan kami menerusi Malaysia. Semoga Allah akan melimpahkan YTM Tunku dengan sihat walafiat dan kebahagiaan serta kejayaan dalam usaha-usaha selanjutnya bagi mencapai persefahaman, persaudaraan dan keamanan yang lebih besar di antara umat manusia"